Label

Jumaat, 24 Disember 2010

Khutbah...ngantuknya...

Setiap kali ke masjid pada hari Jumaat,hati saya pasti akan memberontak. Memberontak setiap kali melihat betapa ramainya dari kalangan jemaah yang lena saat khutbah dibacakan. Begitupun lantang sang pengkhutbah melontarkan suaranya dan betapa jelaspun setiap butir perkataan yang dituturkan, masih jemaah-jemaah tidak terganggu tidurnya. Lantas saya mempersoalkan "Di manakah silapnya?"

Saya tidak akan menyalahkan jemaah yang tertidur, dan saya juga tidak akan menyalahkan teks yang disediakan untuk dibaca. Sebaliknya, pada saya salahnya terletak pada cara khutbah tersebut disampaikan. Setakat permerhatian saya, khutbah di masjid-masjid di negara ini bukanlah di"sampaikan" sebaliknya sekadar di"baca". Isi khutbah yang disusun rapi langsung tidak masuk ke hati jemaah yang hadir kerana ianya dibaca dalam bahasa yang terlalu 'buku'. Sudahlah bahasanya terlalu skema, panjang pula khutbahnya sedangkan khutbahnya tidak pula didengar dan dihayati. 

Kita sering dimomokkan kononnya kalau khatib diberi kebebasan untuk berkhutbah maka akan berlaku salah guna khutbah untuk politik pula. Sungguh sayang kerana mereka lebih rela melihat lebih satu pertiga jemaah setiap masjid di negara ini tidur ketika khutbah dibacakan. Mereka lebih suka melihat jemaah yang sanggup datang lewat ke masjid pada hari Jumaat semata-mata mengelakkan dari mendengar khutbah yang sangat memengantukkan. Yang penting solat Jumaat dapat dilaksanakan, pedulilah sama ada khutbah itu difahami atau tidak, diambil pengajaran atau tidak. Saya maka menanyakan "Apakah begini caranya khutbah Rasulullah?" 

Saya teringat suatu ketika seorang khatib di Masjid KUSZA memberikan khutbah dalam dialek Terengganu. Menggunakan bahasa sehari-hari saja dalam khutbah keduanya. Pesanannya pula menyangkut hal yang sangat setempat. Ketika itu beliau menegur tentang orang yang mengambil udang dan barang dari kontena yang pecah yang bertaburan di tepi pantai sekitar kawasan itu. Ketika itu, khutbah dirasakan sangat menusuk ke hati dan terasa sangat dekat di hati. Sayang, tidak lama kemudian ianya tidak dipraktikkan lagi. Tidak tahulah sama ada kerana ada orang yang menghalangi beliau daripada berkhutbah dengan cara itu ataupun apa. Sehingga kini saya masih menunggu-nunggu kalau-kalau ada khatib yang "menyampaikan" khutbah dan bukan sekadar membacanya. 

1 ulasan:

NC berkata...

Pada pendapat saya, mungkin juga faedah khutbah itu boleh dimanfaatkan sekiranya dimulai dengan diri kita sendiri. Mungkin di sebalik teks yang dibaca itu, kita mungkin boleh berfikir dan mencari kerdhaan NYA.

blog walking, visit mine:
ributdiotak.blogspot.com

Catat Ulasan