Label

Jumaat, 18 Mei 2012

Duit itu Aurat



"Seperti tubuh badan kita, wang juga sebenarnya adalah aurat." 

Begitulah apa yang pernah sahabat saya katakan. Kata-kata itu ada benarnya. Seperti tubuh badan, wang juga boleh menimbulkan ghairah kepada orang yang melihatnya. Sukar untuk mengalih pandangan daripada wang, apatah lagi wang yang tersaji percuma di depan mata. Wang jugalah yang menjadikan manusia hilang pedoman. Kerana itu kita sering mendengar berlakunya kes-kes seperti ragut, rompak, dan pembunuhan akibat mahukan wang. Semuanya berlaku kerana adanya rangsangan nafsu kerana terlalu gila bayang terhadap wang.

Oleh kerana wang seperti tubuh badan yang jika ditayangkan menaikkan nafsu yang melihatnya, maka perlulah wang juga diperlakukan seperti aurat. Ianya haruslah ditutup dan disembunyikan daripada penglihatan orang lain. Harus pula kita menundukkan pandangan apabila dihadapkan dengan wang yang bukan milik kita agar nafsu kita mahupun orang lain tidak bergelora dikeranakan melihat wang yang banyak itu.

Sabtu, 8 Januari 2011

Nama Entah hapa-hapa

"Sekiranya nama Islam itu wajib dalam bahasa Arab, maka orang Melayu dulu yang wajib tukar nama. Mengikut kajian yang pernah dibuat di Jabatan Pendaftaran Negara, 30% nama melayu bukan dalam bahasa Arab bahkan tak tahu bahasa apa. Maka kalau nama Islam wajib dalam bahasa Araba, 30% itu dulu yang wajib tukar nama kepada bahasa Arab" 

Artikel di blog tersebut sebenarnya menyentuh tentang perlu tidaknya menukar nama jika masuk Islam. Dan saya terbaca pernyataan di atas yang sangat menarik. Ya, menarik kerana ia sedikit menyentuh tentang trend masa kini orang-orang Melayu Islam di Malaysia, iaitu memberikan nama-nama yang "entah apa-apa" kepada anak-anak.

Barangkali kerana inginkan nama yang unik bagi anak-anak mereka, maka ibu bapa memilih nama-nama yang kadang-kadang langsung tidak diketahui maknanya dan asal-usulnya. Namun, mereka lupa bahawa nama sebenarnya adalah doa ibu bapa kepada anak-anak mereka. Setiap kali kita memanggil seseorang dengan namanya, kita sebenarnya menitipi sebuah doa untuknya. Umpamanya, jika kita memanggil anak kita Khairul, dengan disertai niat adalam hati kita agar anak itu menjadi seorang yang baik, itu sendiri sebenarnya adalah doa kita untuknya. Makanya, apakah doa kita kalau nama anak kita tidak punya apa-apa makna?

Justeru, pilihlah nama dengan niat mendoakan, bukan sekadar untuk cantik ditulis atau untuk sedap didengar semata-mata. Barangkali anda mahu merenung sebuah hadith riwayat al-Bukhari daripada Said al-Musayyib daripada bapanya:
 
Bahawasa bapanya datang kepada nabi S.A.W lalu baginda bertanya: Siapakah namamu? Jawab  beliau: Hazn (dukacita). Sabda nabi: Engkau Sahl (mudah), jawabnya: Aku tidak akan mengubah nama yang diberikan kepadaku oleh bapaku. Kata Said Bin al-Musayyib: Selepas itu kami terus-terusan dirundung kesedihan.” 

Untuk bacaan lanjut bacalah tentang hukum-hukum memberikan nama di http://al-qayyim.net

Jumaat, 7 Januari 2011

Kolar Putih Kolar Berdaki

Seorang tukang sapu sedang mengutip tin untuk dijual
Ibu saya adalah seorang tukang sapu. Dan saya bangga mengatakan bahawa saya anak seorang tukang sapu. Bahkan kalau ada pekerja yang layak diberi anugerah pekerja paling berdedikasi, sayalah yang pertama sekali ingin mencalonkan ibu saya sebagai penerima anugerah itu. Apalah yang ada pada pekerjaan ini?

Bukanlah senang hendak menjadi seorang tukang sapu yang berdedikasi dengan kerjanya. Apatah lagi bila dihadapkan dengan terik mentari yang pasti membikin peluh yang banyak pada badan. Mengendahkan dugaan itu, ibu saya kental memastikan setiap tempat yang ditentukan bersih. Hal ini berbeza sekali dengan sesetengah pekerja pejabat atau mana-mana pekerja kolar putih yang kadang-kadang mengular bila saja ada peluang. Alasannya mudah, air-cond rosak. 

Pernah ibu saya menelefon mandurnya untuk bertanyakan perlu tidaknya beliau bekerja pada hari raya kedua. Saya sedikit hairan, lantas menanyakan "Hari raya kan cuti, kenapa nak tanya pulak kerja ke tak?" Jawab ibu saya, "Nanti tauke/kontraktor mak kena marah kalau pasar tak bersih." Cuti adalah sesuatu yang sangat disukai oleh para pekerja, dan yang paling sukar adalah mengorbankan sedikit kenikmatan cuti untuk sebuah tanggungjawab yang dipikul. Saya tidak menafikan bahawa saya sendiri pun suka dengan cuti, namun saya teringat kata-kata Norman KRU dalam rancangan Macam-macam Aznil, katanya "Saya rasa Malaysia ni terlalu banyak cuti, sebab tu tak produktif." 

Barangkali perbezaan utama antara kerja kolar putih dengan kolar berdaki adalah pekerja kolar putih banyak memerah otak, manakala pekerjaan kolar berdaki adalah banyak memerah keringat. Maka itu, para pekerja kolar putih memerlukan suasana pekerjaan yang kondusif dan selesa, dan perlu pula pada rehat, tetapi perlukah "rehat tambahan" dalam waktu bekerja?

Selasa, 4 Januari 2011

Bila Ramai Artis Mati Awal

Al-fatihah
Bila mendengar berita kematian pelakon watak antagonis dalam Drama Adamaya, Faizal Yusof, saya teringat beberapa siri kematian para pelakon yang lain. Ini termasuklah arwah Shamrin Fotograf, arwah Hani Mohsin, arwah Izi Yahya dan arwah Ustaz Asri Rabbani. Apakah persamaan dalam kematian kesemua pelakon ini? Persamaannya adalah mereka mati pada usia kurang daripada daripada 50 tahun, kebanyakannya mati mengejut . Gejala kematian sebegini dikenali sebagai Sudden Cardiac Death (Mati tiba-tiba akibat serangan jantung). 

Kematian sebegini memang tidak dapat diduga. Manakan tidak, mati dalam usia yang muda dan sebelum ajalnya menerpa dalam keadaan tidak disangka-sangka. Hal ini menunjukkan benarnya sebuah hadith tentang akhir zaman iaitu:

Daripada Anas Bin Malik r.a, bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud, “Antara tanda-tanda kiamat adalah berleluasanya mati secara tiba-tiba(mendadak).” Riwayat al_Tabrani dalam al-saghir).

Menyedari hal ini, saya terfikir barangkali pada usia 40 tahun ke atas, kita sebenarnya sudah berada di ambang kematian. Dan pada usia 25 tahun, saya menanyakan diri saya sendiri, apakah yang dapat saya sumbangkan dalam tempoh 15 tahun sebelum usia saya mencapai angka 40, sebelum saya mendekati umur kematian? Hal ini sebenarnya amat merunsingkan saya sehingga saya merasakan masa terlampau amat pendek bagi saya untuk melakukan apa-apa pun. Barangkali sudah masanya saya menetapkan haluan hidup saya sekarang.

Sabtu, 1 Januari 2011

Hantaran Beribu, ujung-ujung...

Ilustrasi dari http://www.shevron.com.sg/catalog
Setiap lelaki yang normal pasti menginginkan perkahwinan. Namun yang amat menggusarkan lelaki adalah belanja perkahwinan yang sangat mahal pada masa kini. Duit hantaran saja kadang-kadang boleh mencecah ribuan ringgit.  Itu belum termasuk barang hantaran, belanja kenduri, sewa pelamin, dan segala mak nenek yang bersangkutan. Kerana nak kahwin dan menjaga air muka maka terpaksalah sang lelaki meminjam daripada bank (kadang-kadang ceti) semata untuk memenuhi keperluan tersebut. Lihat saja anggaran belanja kahwin di bawah:

Selesai perkahwinan, timbul pula keserabutan bagaimana hendak membayar hutang yang begitu banyak dari pinjaman untuk perkahwinan, tidak termasuk hutang kereta, hutang rumah, hutang PTPTN dan segala macam hutang yang ada. Pada waktu itu, masing-masing barulah berfikir, bukankah duit  yang telah dibelanjakan sebegitu banyak lebih baik digunakan untuk keperluan masa depan? Bukankah keperluan selepas kahwin itu yang lebih banyak harus dipenuhi?

Trend meletakkan hantaran tinggi-tinggi dan mahukan majlis yang grand2 ini sebenarnya sudah lari daripada asal tujuan perkahwinan itu sendiri. Kita melebihkan keperluan sehari berbanding keperluan hari mendatang yang belum tahu lagi badai dan ributnya.

Rabu, 29 Disember 2010

BTN: Bukti sebuah Kebodohan

Bila melihat para pelajar baru mendaftar, saya pasti akan teringat semester satu pengajian saya di UPSI. Sebelum memulakan pengajian, kami diorientasikan terlebih dahulu dalam Minggu Suai Kenal yang dikendalikan oleh SMU pada ketika itu. Salah satu aktiviti dalam minggu tersebut adalah ceramah Biro Tata Negara (BTN). apa yang agak menjengkelkan pada ketika itu adalah betapa ghairahnya penceramah tersebut mempromosi kerajaan dan mengutuk pembangkang. Hampir 90 persen daripada isi ceramah tersebut adalah tentang betapa perlunya kita menyokong kerajaan, betapa buruknya Anwar Ibrahim dan betapa teruknya pembangkang. Dan bila saya menanyakan junior-junior saya, mereka menyatakan perkara tersebut masih berlaku, Saya tertanya-tanya "Apakah  fungsi BTN sebenarnya?" dan "Apakah para pelajar sudah terlalu amat bodoh sehingga perlu diterangkan betapa berjasanya kerajaan?"

Selasa, 28 Disember 2010

Manusia Itu Pelupa

Manusia itu sifatnya pelupa. Perkataan manusia itu sendiri dikatakan mempunyai akar makna yang berkaitan dengan sifat lupa.Barangkali sebab paling utama yang menyebabkan manusia selalu lupa adalah dari kerana banyaknya benda yang perlu difikirkan dan perlu dibuat dalam hidup sehari-hari. Kita bahkan leka dengan perkara-perkara bersifat duniawi sehingga kita melupakan hubungan kita dengan sang Pencipta. 

Dari kerana sifat pelupa inilah maka umat Islam diberikan sebuah kitab yang memberi peringatan sehari-hari, iaitu al-Quran. Kitab itu dianjurkan untuk dibaca setiap hari. Bukan sekadar dibaca, dengan bacaan Arabnya bahkan difahami tafsir dan isinya.Dengan membaca dan memahami al-Quran, hati kita akan menjadi lebih teguh dan iman kita pula menjadi lebih kukuh. Kuatnya hati dan iman itulah benteng kita untuk menghadapi hari-hari dalam dunia yang semakin menuju ke arah kehancuran ini. 

Ahad, 26 Disember 2010

Seronok Melihat Toyol

Siapakah di antara kita yang seronok melihat kelibat makhluk halus secara berdepan? Saya percaya ramai yang akan mengatakan tidak. Lain pula halnya dengan sahabat saya yang begitu senang hati melihat makhluk-makhluk halus bermain-main sekitar ruang tamu kami. Kisahnya begini...

Kejadian ini berlaku ketika sahabat saya (bukan muslim) diserang sakit yang agak teruk. Hal itu menyebabkan fikiran agak sedikit bercelaru. Pada satu hari beliau keluar dari biliknya dalam keadaan mamai. Dia sedikit hairan melihat ramai anak-anak kecil bermain-main di ruang tamu. Ada yang berlari-lari, ada yang bermain dengan daun yang direndam housemate kami untuk assignmentnya. Beliau tidak sedikit pun merasa takut, bahkan seronok pula melihat anak-anak kecil tersebut bermain sekitar ruang tamu kami. 

Cuma, ada beberapa hal yang dapat saya ambil iktibar daripada peristiwa tersebut. Rakan saya menyatakan ada sebuah bilik yang tidak kelihatan pada ketika itu. Bilik tersebut seakan-akan tidak wujud. Tahukah anda apa sebabnya? Sebabnya adalah housemate saya di bilik tersebut selalu membaca al-Quran. Disebabkan selalu ada bacaan al-Quran di bilik tersebut maka bilik tersebut terhijab daripada pandangan makhluk-makhluk halus. Maka itu, bacalah al-Quran walaupun sedikit sebagai mendindingi rumah kita dari makhluk yang tidak kita ingini.

Apa Guna Masuk U?

Setelah bertahun pengajian, saya merasakan agak lelah meneruskan pengajian. Lelah kerana melihat begitu ramai rakan-rakan yang dulunya memilih untuk tidak menyambung pengajian kini telah berkerjaya dan mampu pula membantu ibu bapa. Tidak kurang juga yang telah berkahwin dan berkeluarga. Sedangkan saya, masih di alam pelajar, masih bergantung kepada ibu bapa, dan menanggung pula hutang dengan PTPTN. Saya pernah diajarkan bahawa universiti adalah tempat terbaik untuk mengejar kecemerlangan dalam hidup, untuk hidup yang lebih baik. Kini saya mempersoalkan "Inikah kecemerlangan?"

Sabtu, 25 Disember 2010

Mimpi Bukan Sekadar Mainan Tidur

Saya agak kurang senang dengan diri saya sekarang ini. Masalahnya berpunca dari sukarnya saya mengingati apa yang saya mimpikan. Baru tadi saya bermimpi sesuatu yang kurang menyenangkan.Dan apa yang lebih menggusarkan saya adalah sukarnya saya mengingat kembali kandungan mimpi saya. Saya terfikir, apakah sudah begitu teruk tahap ingatan saya?

Mungkin bagi anda, mimpi hanyalah sekadar mainan tidur. Kerana itu mimpi bukanlah sesuatu yang penting untuk diingat kembali. Mudah sukarnya mengingat mimpi barangkali ada kaitan dengan tahap ingatan kita. Sukarnya mengingat mimpi mungkin menunjukkan bahawa tahap ingatan kita amat lemah. Dan ini adalah simptom awal kenyanyukan.

Pernah suatu ketika saya bermimpi dapat menangkap ikan dengan sangat banyak, dan akhirnya ikan itu hilang begitu.Ini ada kaitannya dengan keadaan saya yang menghadapi masalah kewangan pada ketika itu. Mimpi tersebut hadir mungkin sebagai mekanisme semulajadi untuk melegakan stress yang dihadapi. Dan ya, hati saya memang sedikit lapang setelah bangkit dari tidur itu.

Mimpi juga adalah cerminan diri kita. Apa yang kita mimpikan itulah kita.Apa juga perwatakan yang cuba kita sembunyikan pasti akan kita zahirkan dalam mimpi. Dalam mimpi kita tidak dapat berpura-pura kerana perlakuan dalam mimpi tidak mampu kita kawal sebagaimana dalam dunia realiti. Saya pernah bermimpi meninggalkan rakan saya ketika dikejar serigala jadian. Refleksi saya terhadap mimpi tersebut menyebabkan saya terfikir apakah saya ini mementingkan diri orangnya? 


lham juga boleh datang dalam mimpi. Rene Descartes menemukan Kaedah Saintifik dari ilham mimpinya.Manakala Thomas Edison pula suka melelapkan mata di siang hari kerana banyak ilham boleh didapati dari mimpi. Dan beliau memang terbukti sebagai inovator yang berjaya. Dari kerana sebab tersebut dan sebab-sebab di atas saya memikirkan untuk menulis jurnal tentang mimpi-mimpi yang saya alami. Mana tahu dalam mimpi juga boleh diketemukan ilham-ilham yang berguna untuk saya. Barangkali juga saya boleh menghasilkan teori-teori besar hasil dari mimpi saya. InsyaAllah.

Jumaat, 24 Disember 2010

Khutbah...ngantuknya...

Setiap kali ke masjid pada hari Jumaat,hati saya pasti akan memberontak. Memberontak setiap kali melihat betapa ramainya dari kalangan jemaah yang lena saat khutbah dibacakan. Begitupun lantang sang pengkhutbah melontarkan suaranya dan betapa jelaspun setiap butir perkataan yang dituturkan, masih jemaah-jemaah tidak terganggu tidurnya. Lantas saya mempersoalkan "Di manakah silapnya?"

Saya tidak akan menyalahkan jemaah yang tertidur, dan saya juga tidak akan menyalahkan teks yang disediakan untuk dibaca. Sebaliknya, pada saya salahnya terletak pada cara khutbah tersebut disampaikan. Setakat permerhatian saya, khutbah di masjid-masjid di negara ini bukanlah di"sampaikan" sebaliknya sekadar di"baca". Isi khutbah yang disusun rapi langsung tidak masuk ke hati jemaah yang hadir kerana ianya dibaca dalam bahasa yang terlalu 'buku'. Sudahlah bahasanya terlalu skema, panjang pula khutbahnya sedangkan khutbahnya tidak pula didengar dan dihayati. 

Kita sering dimomokkan kononnya kalau khatib diberi kebebasan untuk berkhutbah maka akan berlaku salah guna khutbah untuk politik pula. Sungguh sayang kerana mereka lebih rela melihat lebih satu pertiga jemaah setiap masjid di negara ini tidur ketika khutbah dibacakan. Mereka lebih suka melihat jemaah yang sanggup datang lewat ke masjid pada hari Jumaat semata-mata mengelakkan dari mendengar khutbah yang sangat memengantukkan. Yang penting solat Jumaat dapat dilaksanakan, pedulilah sama ada khutbah itu difahami atau tidak, diambil pengajaran atau tidak. Saya maka menanyakan "Apakah begini caranya khutbah Rasulullah?" 

Saya teringat suatu ketika seorang khatib di Masjid KUSZA memberikan khutbah dalam dialek Terengganu. Menggunakan bahasa sehari-hari saja dalam khutbah keduanya. Pesanannya pula menyangkut hal yang sangat setempat. Ketika itu beliau menegur tentang orang yang mengambil udang dan barang dari kontena yang pecah yang bertaburan di tepi pantai sekitar kawasan itu. Ketika itu, khutbah dirasakan sangat menusuk ke hati dan terasa sangat dekat di hati. Sayang, tidak lama kemudian ianya tidak dipraktikkan lagi. Tidak tahulah sama ada kerana ada orang yang menghalangi beliau daripada berkhutbah dengan cara itu ataupun apa. Sehingga kini saya masih menunggu-nunggu kalau-kalau ada khatib yang "menyampaikan" khutbah dan bukan sekadar membacanya. 

Lagu lama...ahh~

Rintiklah rintik hujan gerimis 
Orang tak balik jangan ditangis

Janganlah leka di tengah padang 
Airlah mata jangan dibuang 

Apalah guna ke pulau besar
Bukit yang tinggi sudah diterang 
bagailahmana hati tak risau
Abang pergi lama tak pulang 

Ambilkan pisau potongkan pauh
Belumku rasa si mangga daik
Apa dirisau orang yang jauh
Satulah masa diakan balik

Begitulah indahnya lirik lagu dondang sayang yang baru saya dapatkan dari teman saya. Sayang begitu indahpun lagu-lagu sebegini, ia bukanlah digemari sangat oleh anak-anak muda zaman kini. Mereka lebih suka mendengar lagu-lagu moden yang kadang-kadang sekadar menjadi halwa telinga semata-mata. Apa yang didengar sedikitpun tidak mendatangkan faedah dan pemikiran. Lagu-lagu Melayu yang moden terlalu banyak menekankan tentang percintaan dan bukannya mengajar tentang bagaimana cara yang betul dalam bercinta. Banyak darinya sekadar menyebut tentang seksanya ditinggal kekasih, dicurangi, kekecewaan dalam bercinta, putus cinta dan sebagainya. Berbeza halnya dengan lagu-lagu lama, di samping menyebut tentang kerinduan terhadap sang kekasih ada juga terselit nasihat-nasihat yang merasionalkan balik perasaan yang gundah gulana. Jadi, kepada teman-teman, tahan telinga sajalah kalau saya dah mula memasang lagu-lagu lama ya. Nah saya perdengarkan Dondang Orang Tak Balik khas untuk anda.



Khamis, 23 Disember 2010

Mati pucuknya PEMIKIRAN...

Saya sangat suka mengomentar isu-isu yang kontroversial dan saya sangat vokal dalam membetulkan salah fikir dan faham pihak-pihak tertentu dalam isu-isu sebegini. Cubaan untuk "membetulkan fikir dan faham" ini sering mengundang perdebatan yang panjang dan hangat, sampaikan orang menuduh saya sebagai keras kepala dan tidak boleh menerima pendapat orang lain dan tidak kurang pula yang mengatakan saya berlagak pandai. Ini tidaklah melemahkan saya kerana berdebat mengajar saya banyak perkara. 

Perdebatan tidak sedikit telah menambahkan pengetahuan saya. Bila berdebat, saya akan mencari dan menggali segala sumber untuk memastikan apa yang kemukakan itu tepat dan betul. Ini kerana pada saya setiap pendapat perlulah disokong dengan hujah-hujah yang "justified". Perlu juga ada bukti yang menyokong hujah kita dan bukan sekadar berbicara sekadar dari rasa dan prasangka semata-mata. Dan setiap penggalian yang saya lakukan pasti akan menemukan saya dengan perkara-perkara baru yang tidak pernah diketahui sebelum ini..

Bila berdebat kita tidak akan terlepas dari dikatakan menunjuk pandai dan mungkin juga ada tuduhan-tuduhan yang melulu terhadap kita. Itu juga harus ditangani dengan baik dan jangan pula sampai emosi mencelahi perdebatan sehingga menjadikan perdebatan itu sebagai sesuatu yang tidak mengembangkan minda. Yang penting bukanlah pendapat kita diterima sebaliknya ada ilmu yang kita sampaikan dan ada pemikiran yang kita bukakan.

Adalah amat menyedihkan bila melihat ramai dari kita berbicara sekadar menggunakan perasaan dan sangkaan semata-mata tetapi malas mencari gali ilmu untuk sebuah kebenaran. Ini membuktikan betapa malasnya orang kita untuk mencari tambah ilmu pengetahuan dalam diri. Mereka lebih suka mendengar dan menerima sahaja apa yang dikemukakan oleh orang lain dan sekadar mengulang apa yang dikatakan orang. Tiada usaha untuk memastikan apa yang dikatakan itu benar-benar betul.

Yang berikut adalah sebuah video yang amat menarik tentang persoalan pemakaian hijab. Lihatlah bagaimana kadang-kadang pemikiran kita dibutakan oleh perasaan dan sangkaan semata-mata. 

Selasa, 21 Disember 2010

Masa memikat punyala romantik...

he loves me, he loves me not, he loves me, he loves me not...
Foto dari http://www.pbase.com/lindarocks/image/44220853
Hmm, dia buat menyepi lagi, nape susah sangat dia nak balas mesej skang? Nape ek, dia cam da tak layan aku skang? Masa nak tackle dulu mmg romantik gile ah, tp skang..ntah la...Dia da bosan ke dgn aku ? Dia da x nakkan ak lagi ke?


Hati seorang wanita sentiasa ada keraguan dan persoalan yang mengganggu, lebih-lebih lagi dalam hal-hal berkaitan cinta. Barangkali kerana merasa 'insecure' maka timbul perasaan ragu akan kesetiaan dan kesungguhan sang kekasih. Mereka menanyakan, kenapa masa mula-mula dulu boleh saja tiap-tiap hari berbalas mesej, ber'calling' tapi sekarang macam dah tak bersungguh, macam terpaksa saja melayan mesej dan call dan pelbagai persoalan lain juga muncul dalam fikiran mereka. 

Satu perkara yang amat lelaki risaukan dalam bercinta adalah hilangnya kebebasan mereka. Bila dah mula bercinta, kena melayan SMS, kena call selalu dan berbagai ragam perempuan yang perlu dilayan. Kalau tidak dilayan takut merajuk pula. Maka itu, lelaki merasakan kebebasan mereka sedikit tergugat. Kadang-kadang lelaki mahu juga duduk relaks tanpa memikirkan apa-apa, baring-baring, menonton anime, melayan facebook tanpa ada gangguan dari sesiapa. Tidak berSMS atau bercalling bukanlah bermakna lelaki tidak sayang, tetapi sebolehnya mereka mahu melakukannya bukan dalam keadaan terpaksa.

Isnin, 20 Disember 2010

Bila lelaki mula mengumpat

Mengumpat memang sering disinonimkan dengan wanita. Dan mengumpat juga memberi ilham kepada kartunis Cabai untuk mencipta watak Mak Wook yang terkenal dengan mulut muncungnya dalam siri kartun Tiga Dara Pingitan. Begitulah sinonimnya mengumpat dengan wanita. Akan tetapi setelah sekian lama didoktrinasi dengan fahaman ini, kini saya sedar keadaan ini sebenarnya dah sangat terbalik. Bahkan setakat pemerhatian saya, kaum Adamlah yang sebenarnya lebih banyak mengumpat berbanding kaum wanita. Cuma, mereka tidak menganggapnya sebagai mengumpat, sebaliknya sebagai luahan hati. Dan luahan hati ini, kerana sering dilakukan maka ianya dianggap tidak berdosa. Apa saja yang tidak disenangi pasti akan terus diluahkan kepada kawan-kawan, dan pasti akan ada yang menambah perisa dalam "luahan" tersebut. Perisa yang ditambahkan memang sangat enak sehinggakan ianya meleret menjadi topik perbualan yang panjang. Mungkin kerana itu, lelaki tidak terlalu banyak stress kerana banyak "meluahkan"nya dalam bentuk perkataan, mengutuk, memaki dan mencarut. Ya, mengumpat sangat bagus untuk mengurangkan stress!


Singgang Pedas - ."Dan sesungguhnya orang yang melakukan umpat tidak akan diampunkan dosanya sebelum diampun oleh orang yang diumpat" (Hadis riwayat Ibnu Abib Dunya dan Ibnu Hibbad)

Jumaat, 19 November 2010

Polis Buncit sebab Makan Rasuah

Jurulatih: Awak tau tak sebab apa ramai polis buncit?
Pelatih: sebab banyak makan rasuah!
Jurulatih: ... (terus "letih")
Saya: Bengong (dalam hati)

Dialog ringkas dan sendat ini berlaku ketika saya mengikuti kelas undang-undang yang merupakan aktiviti wajib bagi kami setiap minggu. Jawapan spontan yang diberi sememangnya kedengaran biadab namun itulah apa yang bermain di fikiran majoriti rakyat di negara ini, Polis = Rasuah. Hal ini terbawa-bawa sehinggakan dalam apa jua insiden melibatkan polis, pasti ada ungkapan yang terpacul mengaitkan polis dengan "jenayah" ini.

"Tak tumbuh tak melata, tak sungguh orang tak kata", mungkin itulah yang akan dijawab andai ditanya kenapa disinonimkan polis dengan rasuah. Lupakah kita bahawa terdapat juga pepatah "seekor kerbau berkubang, sekandang kena luluknya"? Dan, lupakah kita bahawa kalau tidak ada angin, masakan pokok boleh bergoyang? Kalaulah tidak ada yang menghulur takkan ada yang menerima bukan?

Akhir sekali saya sekadar ingin menanyakan:

1) adakah anda sanggup membayar saman yang mungkin mencecah RM300 andai polis benar-benar jujur dan berintegriti dalam menjalankan tugasnya dalam memberikan saman?
2) adakah anda akan menolak jika diberikan "diskaun tidak rasmi" iaitu, hanya perlu menghulurkan beberapa keping not merah atau sekeping not biru sebagai balasan untuk polis tersebut melupakan kesalahan (selalunya kesalahan trafik) yang anda lakukan?

Jawablah sejujurnya kerana mungkin itulah juga yang anda akan lakukan bila berhadapan situasi sebagaimana di bawah:


"I don't interested"

Agak terkesima bila membaca ayat ini yang terpacul di FB seorang bakal guru Bahasa Inggeris - "I don't interested". Ya, mengejutkan kerana setelah bertahun pengajian masih boleh menghasilkan kesilapan yang sangat memalukan seperti ini. Sesiapa sahaja boleh mengatakan bahawa dia tidak berusaha secukupnya untuk menaiktarafkan tahap bahasa Inggerisnya. Mungkin benar, namun kesilapan bukanlah semata-mata terletak di bahunya semata-mata. Saya merasakan pihak jabatan Bahasa Inggeris turut bertanggungjawab atas penghasilan guru-guru yang lemah penguasaan bahasanya.

Mereka menginginkan pelajar-pelajar yang mengambil jurusan TESL mempunyai tahap bahasa Inggeris yang cemerlang, gemilang, dan terbilang. Namun, mereka lupa bahawa pelajar-pelajar lepasan STPM dan Diploma yang 'fluent' Bahasa Inggerisnya datang dari golongan berada yang jarang-jaaaaarang mahu mengambil jurusan pendidikan. Maka tinggallah pelajar-pelajar yang "bolehlah" berbahasa Inggerisnya mengambil jurusan ini. Dan pihak fakulti pun langsung tidak berusaha meningkatkan lagi kualiti bahasa Inggeris para pelajarnya kerana "Hey, U r in a university, u have to learn it by yourselves, not being spoonfed alllll the time". Sudahnya...



Kita menghasilkan pelajar-pelajar TESL dengan grammar yang teruk,...



...kita menghasilkan guru-guru Bahasa Inggeris dengan Bahasa Inggeris yang teruk,
dan kita akhirnya terkenal sebagai...

Ya, sangat membanggakan!