Label

Sabtu, 25 Disember 2010

Mimpi Bukan Sekadar Mainan Tidur

Saya agak kurang senang dengan diri saya sekarang ini. Masalahnya berpunca dari sukarnya saya mengingati apa yang saya mimpikan. Baru tadi saya bermimpi sesuatu yang kurang menyenangkan.Dan apa yang lebih menggusarkan saya adalah sukarnya saya mengingat kembali kandungan mimpi saya. Saya terfikir, apakah sudah begitu teruk tahap ingatan saya?

Mungkin bagi anda, mimpi hanyalah sekadar mainan tidur. Kerana itu mimpi bukanlah sesuatu yang penting untuk diingat kembali. Mudah sukarnya mengingat mimpi barangkali ada kaitan dengan tahap ingatan kita. Sukarnya mengingat mimpi mungkin menunjukkan bahawa tahap ingatan kita amat lemah. Dan ini adalah simptom awal kenyanyukan.

Pernah suatu ketika saya bermimpi dapat menangkap ikan dengan sangat banyak, dan akhirnya ikan itu hilang begitu.Ini ada kaitannya dengan keadaan saya yang menghadapi masalah kewangan pada ketika itu. Mimpi tersebut hadir mungkin sebagai mekanisme semulajadi untuk melegakan stress yang dihadapi. Dan ya, hati saya memang sedikit lapang setelah bangkit dari tidur itu.

Mimpi juga adalah cerminan diri kita. Apa yang kita mimpikan itulah kita.Apa juga perwatakan yang cuba kita sembunyikan pasti akan kita zahirkan dalam mimpi. Dalam mimpi kita tidak dapat berpura-pura kerana perlakuan dalam mimpi tidak mampu kita kawal sebagaimana dalam dunia realiti. Saya pernah bermimpi meninggalkan rakan saya ketika dikejar serigala jadian. Refleksi saya terhadap mimpi tersebut menyebabkan saya terfikir apakah saya ini mementingkan diri orangnya? 


lham juga boleh datang dalam mimpi. Rene Descartes menemukan Kaedah Saintifik dari ilham mimpinya.Manakala Thomas Edison pula suka melelapkan mata di siang hari kerana banyak ilham boleh didapati dari mimpi. Dan beliau memang terbukti sebagai inovator yang berjaya. Dari kerana sebab tersebut dan sebab-sebab di atas saya memikirkan untuk menulis jurnal tentang mimpi-mimpi yang saya alami. Mana tahu dalam mimpi juga boleh diketemukan ilham-ilham yang berguna untuk saya. Barangkali juga saya boleh menghasilkan teori-teori besar hasil dari mimpi saya. InsyaAllah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan