Label

Jumaat, 7 Januari 2011

Kolar Putih Kolar Berdaki

Seorang tukang sapu sedang mengutip tin untuk dijual
Ibu saya adalah seorang tukang sapu. Dan saya bangga mengatakan bahawa saya anak seorang tukang sapu. Bahkan kalau ada pekerja yang layak diberi anugerah pekerja paling berdedikasi, sayalah yang pertama sekali ingin mencalonkan ibu saya sebagai penerima anugerah itu. Apalah yang ada pada pekerjaan ini?

Bukanlah senang hendak menjadi seorang tukang sapu yang berdedikasi dengan kerjanya. Apatah lagi bila dihadapkan dengan terik mentari yang pasti membikin peluh yang banyak pada badan. Mengendahkan dugaan itu, ibu saya kental memastikan setiap tempat yang ditentukan bersih. Hal ini berbeza sekali dengan sesetengah pekerja pejabat atau mana-mana pekerja kolar putih yang kadang-kadang mengular bila saja ada peluang. Alasannya mudah, air-cond rosak. 

Pernah ibu saya menelefon mandurnya untuk bertanyakan perlu tidaknya beliau bekerja pada hari raya kedua. Saya sedikit hairan, lantas menanyakan "Hari raya kan cuti, kenapa nak tanya pulak kerja ke tak?" Jawab ibu saya, "Nanti tauke/kontraktor mak kena marah kalau pasar tak bersih." Cuti adalah sesuatu yang sangat disukai oleh para pekerja, dan yang paling sukar adalah mengorbankan sedikit kenikmatan cuti untuk sebuah tanggungjawab yang dipikul. Saya tidak menafikan bahawa saya sendiri pun suka dengan cuti, namun saya teringat kata-kata Norman KRU dalam rancangan Macam-macam Aznil, katanya "Saya rasa Malaysia ni terlalu banyak cuti, sebab tu tak produktif." 

Barangkali perbezaan utama antara kerja kolar putih dengan kolar berdaki adalah pekerja kolar putih banyak memerah otak, manakala pekerjaan kolar berdaki adalah banyak memerah keringat. Maka itu, para pekerja kolar putih memerlukan suasana pekerjaan yang kondusif dan selesa, dan perlu pula pada rehat, tetapi perlukah "rehat tambahan" dalam waktu bekerja?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan